Saturday, March 28, 2015

Langkah-langkah Untuk Melindungi Alam Sekitar

  


 Alam sekitar adalah anugerah daripada tuhan yang sangat ternilai dan ia adalah  sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Sejak akhir ini, alam sekitar semakin tercemar kerana terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
  
  Antara langkah yang boleh dilakukan adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar. Pada hari ini, media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah memberi banyak maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini demikian kerana, televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar.
  
  Selain itu, langkah untuk melindungi alam sekitar adalah melalui kempen alam sekitar secara besar-besaran. Antara kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya. Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang kepentingnya melindugi alam sekitar dan cara-cara melindugi alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan.
  
  Akhir sekali, langkah untuk melindungi alam sekitar adalah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih di  antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan
dapat dipupuk dalam diri pelajar.      

  Kesimpulannya, isu pencemaran alam sekitar adalah semakin hari semakin meningkat dan ia akan menjadi lebih serius jika pihak tersebut tidak mengambil berat tentang isu tersebut. Jadi, saya berharap setiap individu dapat mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar agar alam sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan semula dan dapat dijaga dengan lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan pihak yang berkenaan haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar supaya generasi depan dapat menikmati alam sekitar yang mulia.